Kategori Perkhidmatan
Teater
Makyung
  Tarian Melayu yang merangkumi kombinasi tarian, muzik dan drama ini mula bertapak di Pattani dan tersebar di pantai timur Semenanjung Malaysia khususnya Kelantan sejak 400 tahun dahulu.

Mek Mulung
  Dramatari ini sangat popular di kawasan utara negeri Kedah. Kisah sejarah yang dipaparkan dalam teater ini mengandungi elemen spiritual yang sangat mendalam. Setiap tarian yang dipersembahkan berbeza dari segi gerak jarinya.

Wayang Kulit
  Wayang kulit turut dikenali dengan nama wayang gedek, wayang melayu dan wayang purwo. Teater ini masih berpengaruh di Kelantan, Kedah, Johor dan Terengganu.

Jikey
  Teater yang terkenal di Kedah dan Perlis ini menjadikan gendang sebagai peralatan muzik utamanya. Watak-watak utama dalam persembahan Jikey ialah lelaki benggali, pelawak dan raja atau wira.

Teater Nur Sakti
  Teater Nur Sakti dikatakan berasal dari ciptaan seorang saudagar kaya yang hidup kesepian dan masih dipraktikkan oleh sebahagian masyarakat di kawasan Dungun, Terengganu. Teater ini berperanan sebagai sumber hiburan di samping berupaya menjadi medium rawatan tradisional.

Hamdolok
  Hamdolok dikatakan berasal dari benua Arab dan masih berpengaruh di Batu Pahat Johor. Dilakonkan oleh semua pelakon lelaki yang memegang watak jeneral, wanita dan pelawak sambil diiringi dengan tarian dan nyanyian. Teater jenaka ini sering mengambil tempat di majlis perkahwinan dan banyak menyelitkan unsur keagamaan dan bentuk nasihat. Perkataan hamdolok dijadikan korus dalam nyanyian dan dikatakan berasal dari perkataan Alhamdulillah. Elemen syair menjadi tunggak dalam penceritaan teater ini.

Tarian Pulai
  Tarian pulai merupakan teater Melayu yang masih wujud di Terengganu. Teater ini dipersembahkan khas untuk sumber hiburan selepas mengerjakan sawah. Hanya dilakonkan oleh wanita sahaja dengan peralatan muzik ringkas seperti beberapa batang buluh. Tarian pulai tidak mempunyai kostum yang khusus melainkan baju kurung atau kain batik pasang. Selain itu, kesenian tradisional ini turut mengggunakan buah-buahan dan bunga-bungaan sebagai props dalam persembahannya

Rodat
  Kedatangan pedagang Arab ke Terengganu pada abad ke-19 telah melahirkan teater rodat. Persembahan yang dijayakan dengan nyanyian syair dan sajak ini banyak berperanan membantu pembentukan sosio-budaya masyarakat. Nasihat, adat, jenaka, mesej dan pengajaran yang terkandung dalam persembahan rodat disampaikan bersama paluan rebana. Rodat mendapat tempat di majlis perkahwinan, berkhatan, pesta kebudayaan dan majlis sambutan hari keputeraan.

Wayang Gedek
  Wayang Gedek ialah sejenis persembahan yang dipersembahkan di Utara Semenanjung Malaysia seperti di Perlis, Kedah dan juga Perak. Wayang gedek menggunakan dialek Kedah bercampur Thai. Peralatan muzik yang digunakan ialah gedombak, serunai, canang, gedok, gong dan tamborin. Wayang gedek menggunakan patung yang diukir halus dan berwarna-warni.