PENGENALAN
Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ialah sebuah institusi pengajian tinggi yang menyediakan latihan untuk menghasilkan seniman yang mahir dan karyawan yang berwibawa dan kreatif berlandaskan warisan seni negara. Pada prinsipnya ASWARA menumpukan pendidikan seni ke arah meningkatkan bakat, keupayaan dan kewibawaan penggiat seni dan karyawan yang profesional dan berilmu. Fokus pembelajaran kepada amali memastikan pelajar mencapai tahap kemahiran berkarya yang tinggi dan bakat yang gemilang.
Siswazah ASWARA akan menampung keperluan tenaga mahir dalam bidang kesenian dan kemahiran ini dapat mengisi keperluan tenaga profesional yang terlatih dalam bidang seni seperti anggota orkestra, pencipta, penggubah, pelakon, penulis skrip, pendidik seni serta lain-lain kerjaya yang berkaitan dengan industri seni hiburan.
Peningkatan profesionalisme dan intelektualisme ini akan membantu industri seni dalam usaha memulihara dan meningkatkan keunggulan warisan seni negara ke tahap yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Untuk maklumat lanjut sila layari laman web rasmi Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.
SEJARAH PENUBUHAN ASWARA
Jemaah Menteri pada 6 Julai 2005 telah meluluskan penaikan taraf Akademi Seni Kebangsaan (ASK) menjadi sebuah institusi induk pengajian dan latihan seni budaya dan warisan yang cemerlang (Premier Arts-Culture and Heritage Institution) yang dikenali sebagai Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA)
ASWARA bertanggungjawab mengeluarkan graduan-graduan yang berupaya menjadi cendikiawan, penggalak, pemupuk, pelaku dan pengamal seni budaya dan warisan di peringkat sijil, diploma dan ijazah dalam bidang-bidang penyelidikan dan pemupukan kebudayaan, pemuliharaan dan pentadbiran warisan pelbagai jenis.
Akta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan 2006 telah dipekenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 15 Jun 2006. YB Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan telah menandatangani kuatkuasa akta ini pada 1 Ogos 2006.
Objektif penubuhan ASWARA adalah sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang menyediakan ruang pembelajaran dan pengajaran, penyelidikan dan penerbitan akademik dan khidmat nasihat profesional dalam bidang seni, budaya dan warisan.
PERKHIDMATAN TERAS ASWARA
Memenuhi tuntutan objektif penubuhan ASWARA sebagai sebuah institusi induk pengajian dan latihan seni, budaya dan warisan yang banyak menyumbang kepada industri kreatif dan seni negara, maka perkhidmatan teras ASWARA yang telah dikenalpasti adalah seperti berikut :-
- Pengajaran dan Pembelajaran
Menyediakan pendidikan dan pengajaran seni budaya dan warisan yang bermutu dan relevan dengan keperluan industri kreatif negara. - Pusat Sumber
Berperanan sebagai Pusat Sumber Sehenti (one-stop-centre) yang lengkap bagi tujuan penyelidikan dan rujukan dalam bidang seni budaya dan warisan.
- Penyelidikan, Penerbitan dan Dokumentasi
Melaksanakan penyelidikan dan kajian dalam bidang seni budaya dan warisan bagi penemuan baru serta menerbit dan mendokumentasi hasil-hasil kreatif, kajian dan penyelidikan. - Khidmat Nasihat Akademik
Menyediakan khidmat nasihat dalam bidang seni budaya dan warisan kepada penyelidik, pelajar, seniman dan khalayak umum.
- Pusat Eksperimentasi
Melaksanakan eksperimentasi untuk perkembangan dan pembangunan seni budaya dan warisan. - Pusat Kreatif dan Inovasi
Menghasilkan karya produksi dan penerbitan kreatif dan inovatif bagi menempatkan karyawan, seniman tempatan diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa yang menyumbang kepada industri kreatif negara.
PERKHIDMATAN SOKONGAN
Dalam memastikan ASWARA sebagai sebuah organisasi berfungsi dengan cekap, ASWARA telah mengatur strategi bagi menyediakan perkhidmatan sokongan yang komprehensif dan relevan dengan keperluan dan fungsi ASWARA iaitu :-
1.Pengurusan Am
Merancang, mengurus, menyelia dan memantau hal-hal berkaitan pengurusan am secara keseluruhan, antaranya :-
- Pelaksanaan Akta 653
- Pelaksanaan pekeliling dan arahan pentadbiran
- Polisi dan Dasar
- Sistem operasi ASWARA
- Pengurusan dan penyeliaan
- Pengurusan pejabat dan kakitangan
2.Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia
Merancang, mengurus keperluan pengurusan dan pembangunan sumber manusia (pensyarah, pengurusan dan profesional dan kakitangan khidmat sokongan) seperti pengstrukturan baru ASWARA, pelantikan, pengesahan jawatan, pencen, latihan dalam dan luar negara, peperiksaan jabatan dan perkhidmatan.
3.Pengurusan Kewangan
Merancang, mengurus dan menyelia peruntukan kewangan dan dana khas ASWARA iaitu Belanja Mengurus Tahunan, Dana Pelancaran ASWARA (RM90 juta), Tabung ASWARA (RM15 juta), Pembangunan Rancangan Malaysia ke-9 (RM17 juta). Anggaran Belanjawan Tahunan 2008 berjumlah RM 14,983,162.00.
4.Kemudahan Teknologi Maklumat (ICT)
Merancang dan mengurus keperluan teknologi maklumat, yang merangkumi keperluan pengurusan, keperluan akademik secara umum termasuk keperluan berteknologi tinggi yang khususnya dalam bidang-bidang tertentu pengajian muzik, filem, penulisan dan teater.
FAKULTI MUZIK
FAKULTI MUZIK bermatlamat memberi pendedahan kepada pelajar tentang pentingnya kemahiran muzikal dan pengetahuan teori muzik yang merupakan elemen terpenting dalam kefahaman dasar muzik. Visi fakulti ialah untuk melahirkan pelajar-pelajar yang berkemahiran tinggi, kreatif dan kritis serta bermotivasi tinggi yang bakal mengisi persada seni tanahair.
Modul pengkhususan di Fakulti Muzik iaitu :-
i) MODUL PERSEMBAHAN
Ianya dibahagikan kepada persembahan instrumental dan vokal menjurus kepada muzik tradisional masyarakat etnik di Malaysia dan muzik barat (klasik dan moden). Penekanan diberikan kepada teknik bermain alat muzik dengan gaya yang betul serta membentuk keyakinan penampilan diri semasa persembahan.
ii) MODUL TEKNOLOGI PEMBUATAN ALAT MUZIK
Modul ini memberi penekanan kepada pemuliharaan dan pembuatan alat muzik seperti alat pergendangan melayu,alat bertali, alat tiupan dan sistem talaan bunyi bagi gong bertombol.
iii) MODUL KOMPOSISI
Modul ini memberi penekanan kepada pelajar untuk mengubah dan mencipta lagu. Penekanan utama diberikan kepada teknik penulisan skor, rhythm section, analisa skor dan komposisi.
iv) MODUL TEKNOLOGI MUZIK
Modul teknologi mengambil pendekatan kepada bidang teknikal dan kreatif dalam mengendalikan peralatan dan perisian muzik bagi melahirkan karya-karya dan rakaman muzik bermutu tinggi. Disamping itu juga, pelajar mempelajari teknik pemuliharaan muzik dalam bentuk audio atau manuskrip serta berkemahiran menguruskan maklumat muzik dalam bentuk pengkalan data dan laman web.
v) MODUL PENGURUSAN PEMENTASAN MUZIK
Modul ini memberi pendedahan kepada aspek teori, kreatif dan teknikal dalam penerbitan sesuatu produksi muzik. Pelajar akan diberi peluang untuk mengendalikan satu pementasan sebagai penilaian.
FAKULTI TEATER
FAKULTI TEATER menyediakan ruang dan peluang kepada pelajar untuk mengikuti latihan secara formal dan sistematik. Peluang turut disediakan kepada mereka yang bercita-cita untuk mengembangkan bakat dan memahirkan diri dalam bidang teater secara berperingkat bertaraf sijil.
Berteraskan teater tradisional Melayu dan bergerak selari dengan perkembangan teater moden, pendekatan pembelajaran Fakulti Teater adalah melalui sistem kuliah, kerja studio dan produksi dengan menitikberatkan pada perguruan dengan tokoh, rujukan pembacaan, perbincangan kumpulan, pelayaran komputer dan pelaksanaan projek. Pengisian kursus membekalkan kemahiran dan pengalaman secara mampan berdasarkan keperluan industri seni persembahan semasa dengan pemberatan pada aspek praktikal tanpa melupakan aspek penguasaan dan pengukuhan teori.
Terdapat empat modul pengajian di Fakulti Teater iaitu :-
i) MODUL TEORI, SEJARAH DAN PENGURUSAN
Mengemukakan kursus yang berkaitan dengan teori, sejarah dan falsafah seni teater serta pentadbiran dan pengurusan teater, sebagaimana yang dipraktikkan di luar dan di dalam negara. Kursus-kursus berbentuk produksi juga diwajibkan kepada semua pelajar.
ii) MODUL LAKONAN
Modul ini untuk melatih dan mengasuh bakat serta minat melalui pembinaan diri sebagai aktor dengan gaya dan teknik lakon klasik, moden dan eksperimen berdasarkan sistem dan gaya tokoh-tokoh terpilih dari timur dan barat. Gaya lakon pilihan untuk medium televisyen dan filem juga diperkenalkan.
iii) MODUL PENGARAHAN
Modul ini mendedahkan tugas dan peranan seorang pengarah dengan mendekati sistem berkaitan pengarahan. Pelajar akan bekerja dan bertanggungjawab secara langsung sebagai pengarah dalm produksi untuk menguji dan mendapatkan pengalaman memimpin sebuah produksi.
iv) MODUL SINOGRAFI
Modul ini adalah suatu penerokaan artistik melalui visual dalam bentuk perekaan dan operasi teater berdasarkan falsafah, teknik dan proses tertentu merangkumi aspek rekaan kostum, pencahayaan, set, prop, latarias, tatarias dan produksi. Pelajar akan dilatih mengimbangkan antara kemahiran teknikal dari aspek lukisan dan rekaan berbantukan komputer bagi persiapan pra-produksi.
FAKULTI TARI
FAKULTI TARI menawarkan pengajian yang menyeluruh di dalam teknik-teknik dari pelbagai genre Tarian Malaysia, Asia dan Barat. Fokus utama fakulti pada tahap Diploma ialah untuk melahirkan penari profesional yang berilmu dan berkaliber tinggi dengan pengetahuan yang mendalam mengenai kesenian dan teknik tari tradisional dan kontemporari. Fakulti Tari berhasrat melahirkan graduan yang berkemampuan menghasilkan karya kreatif di samping mengendalikan bengkel dan kursus dalam bidang tari. Berteraskan tarian tardisional Malaysia, Fakulti Tari meneroka bidang tari secara global melalui kegiatan studio, kuliah dan produksi dengan pendekatan pembelajaran bersifat perguruan dengan tokoh, rujukan pembacaan, bengkel-bengkel tari dengan pengiat seni tanahair dan pelaksanaan projek. Pengisian yang menyeluruh diharapkan berbekalkan kemahiran, pengalaman serta semangat perjuangan bidang seni tari supaya graduan tari mampu menyumbang kepada pembangunan industri tari Malaysia.
Terdapat empat modul pengajian di Fakulti Tari iaitu : -
i) MODUL KESENIAN TRADISIONAL
Modul wajib bagi semua pelajar dalam Fakulti Tari. Modul ini melatih dan mengasuh bakat dan minat berdasarkan sistem pendidikan beberapa tokoh yang terpilih. Pengenalan bentuk penting serta kefahaman gerak tradisi, asal-usul tarian serta konteks persembahan dan etnologi. Modul ini merangkumi tarian Klasik Melayu, Tari Rakyat yang wujud di serantau negara seperti Dabus, Asyik dan Joget Gamelan, Tarian Joget, Inang dan Zapin, Tarian Sabah dan Sarawak serta Tai Chi dan Silat. Turut ditawarkan ialah tarian Cina dan India. Kesenian tarian tradisional yang ada di Malaysia teramat luas and kaya, maka tidak mungkin diajar semuanya dalam enam semester. Dengan itu, pelajar akan dibekalkan ilmu untuk meneliti, menganalisa dan memahami pergerakan supaya dapat mengaplikasikan sistem ini kepada sebarang tarian yang ingin dikaji seterusnya.
ii) MODUL KESENIAN KOTEMPORARI
Modul ini juga merupakan modul wajib untuk pelajar Fakultui Tari. Modul ini bertujuan memupuk minat dan kecenderungan kepada bentuk dan teknik tarian seperti Ballet, Moden, Jazz dan gaya tarian terkini. Teknik moden seperti Graham, Cunningham, Hawkins dan sebagainya diajar dengan mendalam supaya pelajar dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai gaya tarian berkenaan. Modul ini akan membina vokabulari gerak supaya dapat di kembangkan untuk tujuan berkarya. Pada masa yang sama, teknik-teknik yang diajar ini amat berfaedah untuk memberi kefahaman tentang ruang, tubuh, tenaga dan konsep masa.
iii) MODUL KOREGRAFI
Modul ini bertujuan menghasilkan karyawan tari yang berinovatif dan kreatif. Daya kreativiti diasuh melalui proses pembelajaran yang bermula di dalam studio tari ke alam sekitar. Kursus seperti improvisasi, komposisi dan koreografi dapat membina secara sistematik dan beransuran, daya pemikiran dan kreativiti pelajar. Pelajar digalakkan mengambil bahagian dan menyaksikan sebanyak mungkin produksi tari samada di dalam mahupun di luar ASWARA. Eksplorasi gerak berteraskan gaya tradisi diharapkan dapat menghasilkan suatu nafas kotemporari beridentitikan Malaysia.
iv) MODUL TEORI DAN SEJARAH
Modul ini mengemukakan kursus yang berkaitan dengan teori dan falsafah seni tari. Kursus ini juga memperkuatkan kebolehan pelajar berkomunikasi, menganalisa serta mengkaji bidang tari. Kursus Sejarah Tari, Anatomi dan Pencegahan Kecerderaan merupakan kursus wajib di samping kursus Pengenalan Teori Persembahan dan Sejarah Tari Malaysia. Semua pelajar diwajibkan melengkapkan satu program berbentuk kajian tradisional di mana kaedah penyelidikan serta etnologi tarian difahami dengan lebih mendalam.
FAKULTI PENULISAN
FAKULTI PENULISAN menawarkan kursus Diploma Penulisan Kreatif. Ia bermatlamat memberi peluang kepada mereka yang berminat, berbakat dan berpengalaman dalam bidang penulisan untuk memperlajari dan mendalami ilmu penulisan dalam suasana yang formal, berlandaskan teori, kaedah, pendekatan dan praktik yang lebih bersistematik. Para pelajar diperkenalkan, diberi kefahaman dan dibimbing dalam dalam disiplin penulisan oleh para pensyarah yang benar-benar berpengetahuan, berpengalaman dan berkelayakan dalam bidang masing-masing.
Tumpuan atau kursus teras Fakulti Penulisan ASWARA lebih kepada penulisan dramatik (drama pentas, drama televisyen dan lakon layar), meskipun kursus-kursus penulisan cereka, biografi, penulisan lirik dan nonkreatif turut ditawarkan. Orientasi pengajaran dan pembelajaran memberat kepada kerja-kerja praktikal (penghasilan nashkah/karya) di samping mendedahkan pelajar keapda ilmu-ilmu teori, sejarah, psikologi, apresiasi dan kritikan dalam penulisan.
Kursus-kursus Fakukulti Penulisan disusun sedemikian rupa bagi disesuaikan dengan keperluan dan permintaan industri seni persembahan dan seni layar (televisyen dan filem). Di bawah sistem modul, terdapat tiga bidang pengajian yang ditawarkan oleh Fakulti Penulisan :-
i) MODUL WAJIB FAKULTI
Modul ini menawarkan kursus-kursus berhubung dengan teori penulisan, kritikan, bahasa, falsafah, sejarah dan terjemahan.
ii) MODUL PENULISAN KREATIF
Bidang ini menawarkan kursus-kursus yang berkaitan dengan penulisan skrip untuk sesi pentas. Aspek sejarah, teori, aliran pendekatan, proses, teknik, dan format penulisan, gaya bahasa dan pemikiran diajar secara khusus dengan memberatkan kepada amali (penulisan) sehingga 60%. Penulisan cereka moden, biografi dan penulisan lirik turut ditawarkan dibawah modul ini.
iii) MODUL PENULISAN FILEM DAN TELEVISYEN
Bidang ini menawarkan kursus-kursus yang berkaitan dengan penulisan skrip untuk seni layar iaitu medium layar kaca (televisyen) dan layar perak (filem). Beberapa bentuk penulisan yang sesuai dengan program-program televisyen dan lakon layar untuk filem cereka didedahkan bagi memberi kefahaman, pengalaman dan kemahiran kepada pelajar untuk menghasilkan karya. Kursus-kursus penulisan skirp dokumentari dan skrip animasi turut ditawarkan untuk melengkapkan pengisian modul dan keperluan industri.
FAKULTI FILEM DAN VIDEO
Matlamat utama pendidikan Fakulti Filem dan Video ASWARA ialah untuk melahirkan modal insan yang berilmu dan profesional dengan menguasai pelbagai bidang penerbitan dan penyelidikan filem. Bentuk kurikulumnya tealh dirangka dengan menitikberatkan ilmu teori dan jam praktikalnya yang tinggi.
Fakulti Filem dan Video memberi peluang kepada pelajar menimba ilmu dan kemahiran yang luas melalui kepelbagaian kaedah pengajaran dan pembelajarannya berbentuk kelas teori, bengkel, tugasan di makmal dan studio, kajian lapangan, produksi, tayangan filem, diskusi keilmuan bersama-sama tokoh-tokoh akademik serta karyawan undangan dari industri dalam dan luar negara. Warga industri filem dari dalam dan luar negara dilibatkan secara langsung bersama-sama pelajar sebagai panel penilai karya pelajar, memimpin kursus-kursus berbentuk bengkel produksi dan pensyarah jemputan. Pandangan dan penilaian ari pihak industri menjadi panduan kepada pelajar untuk meningkatkan kualiti dalam berkarya dan pihak fakulti dapat memperbaiki sistem kurikulum dan kaedah pengajaran dari masa ke semasa.
Barisan tenaga pensyarahnya pula terdiri daripada ilmuan dan karyawan yang diakui kepakaran serta pengalamannya dalam bidang akademik dan penggiat industri filem terkenal tanah air. Pendedahan luas melalui sistem pengajaran dan pembelajaran seimbang di antara ilmu teori dan praktis peralatan dan pembelajaran setanding dengan industri serta bimbingan daripada tenaga pensyarah berpengalaman telah melengkapkan graduan yang memenuhi kehendak industri serta mampu menyumbang secara aktif kepada pembangunan industri perfileman tanah air.
Fakulti Filem dan Video ASWARA memberi peluang kemahiran yang luas kepada pelajar melalui aktiviti-aktiviti perluasan berbentuk bengkel, produksi filem, tayangan dan apresiasi filem, diskusi keilmuan dengan tokoh-tokoh akademi dan penggiat industri. Pembelajaran berbentuk praktikal dan ‘hands-on’ mampu mengahasilkan graduan yang berkemahiran tinggi dalam pasaran. Fakulti Filem dan Video juga sentiasa melengkapkan kemudahan infrastruktur peralatan dan pembelajarannya setanding dengan penggunaan dan keperluan industri semasa.
Objektif Fakulti Filem dan Video
Menjadi sebuah fakulti yang terulung dalam menyediakan pengajaran dan latihan yang profesional, pusat penyelidikan perfileman serta penerbitan karya-karya filem yang berkualiti dan mengangkat seni, budaya dan warisan Malaysia.
Visi Fakulti Filem dan Video
Menjadi sebuah fakulti yang menerajui bidang pendidikan bersepadu perfileman dan video yang diiktiraf kepakarannya di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.
Kurikulum peringkat Diploma memberi penekanan yang utama terhadap aspek praktikal dan teknikal. Para pelajar juga dibekalkan dengan ilmu teori, analisis, apresiasi, penulisan dan pengarahan. Matlamat kurikulum peringkat diploma adalah untuk melahirkan modal insan sebagai karyawan dan tenaga teknikal di industri. Kurikulum terdiri daripada 2 modul utama iaitu :-
Modul Teori & Apresiasi – memberi penekanan terhadap kursus-kursus berbentuk teori, analisis, apresiasi, penulisan layar, pengarahan dan sinema Malaysia. Modul ini memberi ilmu yang penting kepada pelajar dalam menganalisis filem, membina idea penceritaan dan pengarahan karya-karya filem bercorak cereka atau bukan cereka.
Modul Produksi dan Teknikal – modul ini melatih pelajar dalam kerja-kerja kreatif dan teknikal seperti pengurusan produksi, sinematografi, penataan bunyi, penyuntingan dan rekaan produksi. Para pelajar didedahkan dan diuji kemahirannya dalam menghasilkan karya-karya filem melalui kursus-kursus berbentuk bengkel produksi, projek awal dan projek akhir. Modul ini dirangka untuk memenuhi keperluan industri perfileman negara yang memerlukan modal insan berkemahiran, berkualiti dan menguasai aspek kreatif dan teknikal.
Kurikulum pembelajaran dibina dengan memberi penekanan terhadap pekara-perkara berikut :-
Mendedahkan pelajar agar menguasi penggunaan peralatan-peralatan produksi sperti kamera filem 16mm, High definition (HD), digital dan fotografi, sistem penyuntingan filem steenback dan non-linear, sistem audio rakaman bunyi dan muzik, komputer grafik dan animasi, teknologi Computer Generated Imej (CGI), peralatan lampu produksi dan pelbagai aksesori kamera dan grip.
Menguji keberkesanan pembelajaran setiap semester dengan menghasilkan produksi-produksi filem seperti cereka dan dokumentari melalui kursus-kursus bengkel produksi I,II dan III.
Menguji dan menilai pencapaian pelajar dalam membuat penyelidikan, mengurus dan melaksanakan projek produksi individu atau berkumpulan melalui Projek Awal dan Projek Akhir sebelum layak dianugerahkan diploma.
FAKULTI SENI HALUS
FAKULTI SENI HALUS bermatlamat melahirkan karyawan, seniman, pelukis, pengarca, penghayat seni yang berilmu, kreatif, beradap dan profesional melalui satu program pendidikan formal Seni Halus yang bersifat holistik berteraskan kesenian dan warisan negara. Tumpuan diberikan kepada pendidikan seni berbentuk vokalsional dan kemahiran dengan sokongan latihan dari adiguru-adiguru Negara, berteraskan warisan dan budaya Negara dalam tiga cabang seni halus yang utama iaitu catan, cetakan dan arca.
Tiga cabang seni halus yang utama ialah :
i) SENI CATAN
Pelajar akan didedahkan kepada unsur dan prinsip seni catan disamping menguasai teknik-teknik dan menggunakan bahan-bahan catan dengan kreatif.
ii) SENI CETAKAN
Pelajar akan didedahkan melalui pemikiran dan pemahaman bahasa seni tampak selain memahami kaedah medium, teknik-teknik seni cetak konvensional dan pengendalian bahan cetakan secara kreatif seterusnya mampu berkarya engan menerapkan unsur-unsur tempatan.
iii) SENI ARCA
Pemahaman seni arca berlandaskan warisan, pelajar akan didedahkan dengan cara pengolahan, pemilihan bahan dan kesesuaiannya dengan gaya dan maksud dan seterusnya mampu menghadirkan arca sezaman bercirikan tradisional dengan baik.

Bangunan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan
Tarikh akhir kemaskini: 27-11-2008 11:07:22
