Kearkiban
Sejarah kearkiban di negara ini telah bermula secara rasmi pada 1 Disember 1957, apabila Pejabat Rekod Awam, Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan. Walaubagaimana pun, keperluan terhadap suatu pentadbiran arkib sudah mula dirasai sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi tetapi tidak ada tindakan wajar yang diberikan oleh pihak penjajah mengenainya. Banyak rekod musnah ketika pendudukan Jepun menyebabkan Setiausaha Tanah Jajahan mengeluarkan Surat Pekeliling bertarikh Mac 1948 supaya satu kajian dibuat berhubung dengan keadaan pemeliharaan rekod-rekod awam yang disediakan oleh Timbalan Penyimpan Rekod, Public Record Office, London.
Keadaan darurat telah menyebabkan kajian tersebut tidak dapat disiapkan. Lalu satu kajian lanjutan telah diadakan dan hasilnya ‘Jawatankuasa Pemeliharaan dan Pemusnahan Rekod-rekod Rasmi’ telah ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Ketua Peguamcara yang dilantik oleh Ketua Setiausaha Kerajaan. Jawatankuasa ini telah menyediakan satu laporan yang dikemukakan kepada kerajaan pada Januari 1956. Laporan mencadangkan agar Kerajaan menubuhkan sebuah jentera pentadbiran yang bertanggungjawab ke atas pemuliharaan dan pemusnahan yang bersistematik terhadap rekod-rekod awam.
Hasil dari laporan ini, pada bulan Mei 1957, H.N. Blakiston, Penolong Penyimpan Rekod dari Public Rekod Office, London telah dihantar ke Kuala Lumpur untuk meninjau rekod-rekod di 108 buah Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri di seluruh Persekutuan Tanah Melayu. Laporan ini siap pada Julai 1957 dengan mencadangkan supaya satu Perkhidmatan Rekod Persekutuan dengan penyertaan Kerajaan Negeri ditubuhkan melalui undang-undang. Beliau turut mencadangkan seorang Penyimpan Rekod Awam dan dua orang penolongnya hendaklah dilantik pada peringkat permulaan ini dan suatu kaedah ulangkaji rekod-rekod Kerajaan yang teratur diadakan.
Cadangan-cadangan tersebut telah diterima dan pada 1 Disember 1957 Pejabat Rekod Awam telah ditubuhkan dengan rasminya dan melantik Mubin Sheppard sebagai Penyimpan Rekod Awam. Bermula dari sini kerja-kerja kearkiban telah diurus secara lebih sistematik. Perkembangan selepas itu telah memperlihatkan fungsi-fungsi dan tanggungjawab Pejabat Penyimpan rekod-rekod Awam semakin bertambah maka nama Pejabat Rekod Awam telah ditukarkan kepada Arkib Negara Malaysia pada tahun 1963. Penukaran nama ini juga adalah selaras dengan penggunaan di peringkat antarabangsa.
Penubuhan Arkib Negara Malaysia pada peringkat awalnya tidak berasaskan undang-undang dan segala kerja pengumpulan dan pemeliharaan arkib dijalankan secara rasmi berdasarkan arahan-arahan yang dikeluarkan melalui surat-surat pekeliling sahaja. Usaha untuk menyediakan satu draf Undang-undang Arkib Negara telah dimulakan pada tahun 1962 oleh Dr.F.R.J.Verhoeven, Pengarah Jabatan ini, yang juga seorang pakar UNESCO. Pada tahun 1963 Draf undang-undang telah berjaya disiapkan dan diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1966. Undang-undang ini dikenali sebagai Akta Arkib Negara 1966. Dengan peruntukan undang-undang ini bermakna satu dasar yang asas dalam perkara simpanan dan pentadbiran rekod-rekod awam dan arkib sebagai harta benda awam yang mempunyai nilai yang tinggi dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
Bagi memenuhi keperluan penyimpanan rekod dan arkib awam, pada tahun 1971 seorang pakar perunding mengenai bangunan-bangunan arkib dari UNESCO telah ditempatkan di negara ini bagi memberi nasihat kepakaran mengenai bangunan Arkib Negara. Bangunan yang memenuhi spesifikasi kearkiban antarabangsa yang terletak di Jalan Duta mula didirikan pada 18 Julai 1977 dan disiapkan pada bulan Oktober 1982. Pembukaan rasmi bangunan telah diadakan pada 1 Disember 1982 oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong ke 7 sempena sambutan jubli perak Arkib Negara dan Persidangan Meja Bulat Arkib Antarabangsa yang julung-julung kalinya diadakan di rantau Asia.
Bagi menepati keperluan semasa dalam pengurusan rekod dan pentadbiran arkib, pada tahun 2003 satu undang-undang baru Arkib Negara telah diluluskan yang dinamakan Akta Arkib Negara 2003 (Akta 629). Akta ini memberikan dimensi baru dalam bidang kearkiban dalam negara serta melengkapkan lagi tugas dan tanggungjawab jabatan bersesuaian dengan perkembangan global. Arkib Negara akan terus melaksanakan tanggungjawabnya mengurus, mentadbir, mengumpul, memelihara, memulihara rekod-rekod awam dan persendirian serta warisan sejarah negara yang berkaitan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Akta Arkib Negara.
Untuk keterangan lanjut mengenai kearkiban atau pelbagai aktiviti Pengurusan Rekod dan Pentadbiran Arkib sila layari laman web Arkib Negara Malaysia di www.arkib.gov.my.
Tarikh akhir kemaskini: 26-11-2008 03:06:06
