SEJARAH
Dari sudut sejarah, penubuhan Kementerian ini merupakan warisan dari Bahagian Kebudayaan yang diwujudkan di bawah Kementerian Kebajikan Masyarakat dalam tahun 1953. Pada tahun 1964, Bahagian Kebudayaan dipindahkan pula di bawah naungan Kementerian Penerangan.
Menyedari akan betapa pentingnya kebudayaan diberi pemerhatian khususnya untuk perpaduan setelah mengalami pengalaman pahit peristiwa 13 Mei 1969 dan ekoran penggubalan Dasar Kebudayaan pada tahun 1971,maka pada tahun 1972, Bahagian Kebudayaan diletakkan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Pada 20 Mei 1987, komponen 'kebudayaan' dipisahkan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan digandingkan pula dengan Perbadanan Kemajuan Pelancongan Malaysia. Seterusnya sebuah Kementerian baru diwujudkan bergelar Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Lima tahun kemudian pada 22 Oktober 1992 struktur Kementerian ini diperkemaskan lagi dan diberi nama baru Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan.
Ekoran dari penyusunan semula Kabinet pada 27 Mac 2004, kedua-dua komponen utama iaitu 'kebudayaan' dan 'pelancongan' telah dipisahkan dan diletakkan di bawah Kementerian berasingan iaitu Kementerian Pelancongan dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
Bermula dari penyusunan semula Kabinet pada 18 Mac 2008, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah diserap ke Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWA) dan kini dikenali sebagai Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
VISI
"Melahirkan bangsa Malaysia yang berbudaya luhur dan bersatu ke arah negara bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang".
MISI
"Menyemarakkan dan merakyatkan seni dan budaya ".
"Mengekalkan warisan negara".
"Mengekalkan kesejahteraan dan perpaduan kaum".
OBJEKTIF
Melaksanakan dengan cekap dan berkesan segala dasar, undang-undang dan peraturan berhubung dengan perpaduan, kebudayaan, kesenian dan warisan negara serta memastikan hala tuju dan pelaksanaan dasar-dasar selaras dengan objektif dan wawasan negara.
PERANAN
- Menggubal dasar dan perundangan berkaitan perpaduan, kebudayaan, kesenian dan warisan.
- Merancang dan melaksanakan aktiviti budaya, seni dan warisan ke arah memperkasakan komuniti dan memupuk semangat kaum.
- Memelihara dan memulihara warisan negara.
- Menyediakan kemudahan prasarana untuk aktiviti budaya, seni dan warisan.
- Menjalankan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang budaya, seni dan warisan.
- Mendokumentasi dan menerbitkan hasil-hasil kajian serta bahan-bahan rujukan budaya, seni dan warisan.
- Mewujudkan jaringan kerjasama antarabangsa berkaitan budaya, seni dan warisan.
Tarikh akhir kemaskini: 07-05-2009 08:52:13
